KONVOI SOLIDARITI #JusticeForZara DI SANDAKAN 31 OGOS INI
SANDAKAN: Sebuah konvoi solidariti bagi menuntut keadilan untuk arwah adik Zara Qairina akan dianjurkan pada 31 Ogos 2025 (Ahad) bertempat di Padang Bandar Sandakan.
Menurut kenyataan penganjur, pihak mereka telah menghantar surat pemakluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pagi tadi, dan maklum balas lanjut dijangka diterima dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Konvoi ini dianjurkan sebagai tanda solidariti masyarakat terhadap tragedi menimpa arwah serta bagi menyatakan sokongan kepada keluarga mangsa. Pihak penganjur menjelaskan bahawa objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu buli, keganasan dan penderaan. Ia juga bertujuan menekankan kepentingan tindakan awal bagi mengelakkan tragedi berulang serta menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina.
“Anggaran peserta sekitar 150 orang seperti dinyatakan dalam surat pemakluman. Namun, sekiranya jumlah kehadiran melebihi angka tersebut, ia adalah di luar jangkaan pihak kami,” kata jurucakap penganjur.
Selain konvoi, penganjur turut merancang satu himpunan solidariti yang dijangka akan disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari daerah lain di Sabah.
“Kami hanya menuntut keadilan. Jika masih tiada keputusan, rakyat Sabah akan terus bangkit menuntut jawapan,” tambah kenyataan itu.
Program ini dijangka menjadi platform suara rakyat dalam menyuarakan isu penderaan kanak-kanak serta menzahirkan solidariti kepada keluarga arwah Zara Qairina.
Ulasan
Catat Ulasan