Semangat Prihatin Tanpa Batas: Datuk Zakaria Kongsi Rezeki di Gereja St. Paul Ulu Dusun
Oleh Azmil Asman
SANDAKAN, 24 Oktober 2025 (Jumaat) – YBhg. Datuk Hj Zakaria Hj Mohd Edris bersama rombongan hari ini mengadakan lawatan mesra ke Gereja St. Paul Ulu Dusun, Batu 30 bagi meninjau keadaan gereja serta menyalurkan sumbangan peribadi kepada wakil-wakil gereja sekitar kawasan DUN Gum-Gum.
Dalam lawatan itu, Datuk Zakaria menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang berkongsi rezeki dengan masyarakat pelbagai agama, kepercayaan dan fahaman politik. Beliau menegaskan bahawa berkongsi rezeki adalah amalan mulia yang tidak mengenal batas perbezaan.
“Berkongsi rezeki itu terbuka luas kepada semua. Tangan yang sentiasa memberi mencerminkan keikhlasan hati seseorang,” ujar beliau.
Datuk Zakaria turut menekankan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat pelbagai agama bagi memperkukuh keharmonian dan perpaduan di kawasan setempat.
“Insya-Allah, jika diberikan rezeki dan kesempatan, kita akan terus bertemu dan meneruskan usaha murni ini,” tambahnya lagi.
Program berkenaan mencerminkan keprihatinan seorang pemimpin masyarakat terhadap institusi keagamaan dan komuniti setempat, sekali gus memperlihatkan nilai kepimpinan berjiwa rakyat yang tulus dan inklusif.
Ulasan
Catat Ulasan