Keutamaan Saya Bukan Kempen, Tetapi Fokus Krisis Air Rakyat Sandakan
Oleh Mus Fardil Abdullah
Sandakan : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, menegaskan bahawa sejak beliau diumumkan sebagai calon DUN Elopura minggu lalu, tumpuannya bukan pada kempen politik, sebaliknya kepada usaha menangani krisis air yang terus membebankan penduduk.
Pada hari penamaan calon yang berlangsung hari ini, Vivian hadir bersama ribuan penyokong yang memenuhi kawasan pusat penamaan calon, namun tetap menekankan bahawa keutamaan beliau masih tertumpu kepada isu kebajikan rakyat.
Beliau berkata krisis air yang berpanjangan menuntut perhatian segera, justeru pasukannya terus memantau perkembangan pembaikan paip serta memastikan maklumat terkini disalurkan kepada penduduk.
Dalam gambar yang dirakam semasa penamaan calon, turut kelihatan Tang Szu Ching, calon yang dipertaruhkan di DUN Tanjong Papat, hadir bersama untuk menunjukkan solidariti dan komitmen bersama terhadap isu infrastruktur Sandakan.
Vivian juga menjawab persoalan mengenai keputusannya bertanding di peringkat negeri walaupun masih memegang jawatan Ahli Parlimen. Menurutnya, banyak isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya hanya dapat diselesaikan secara menyeluruh melalui kuasa di peringkat kerajaan negeri.
“Saya turun bukan untuk jawatan, tetapi kerana saya mahu masalah air, elektrik, jalan dan kehidupan rakyat Sandakan diselesaikan sampai ke akar,” katanya.
Beliau menyeru penduduk DUN Elopura untuk bersama-sama membawa perubahan dan menamatkan krisis berulang yang membelenggu Sandakan sejak sekian lama. Kenyataannya turut disertakan dalam bahasa Mandarin bagi memastikan mesej disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.
Ulasan
Catat Ulasan