DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN
Sandakan, 17 Mei 2025 — Dua individu nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang mereka naiki terjunam dari kawasan tinggi dalam perkarangan Tokong Puu Jih Shy, Sandakan, pagi tadi.
Insiden yang berlaku sekitar jam 9:08 pagi itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 16 saat. Berdasarkan rakaman, kenderaan putih tersebut dilihat memasuki kawasan tokong dan sedang cuba diparkir sebelum tiba-tiba memecut laju ke hadapan dan terjunam ke cerun curam.
Kenderaan berkenaan kelihatan seakan-akan hilang kawalan akibat penekanan pedal minyak yang melampau secara tidak disengajakan ketika proses mengalihkan kenderaan. Keadaan laluan yang sempit dan bertingkat dipercayai turut menyumbang kepada kejadian.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PBK I Rosemidian Hj. Majid, terdapat dua mangsa dalam kejadian tersebut.
“Seorang lelaki dewasa cedera di bahagian pinggul belakang, manakala seorang wanita dewasa mengalami kecederaan ringan di tangan,” katanya.
“Pasukan bomba segera mengeluarkan kedua-dua mangsa dan membawa mereka naik dari cerun sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan KKM untuk rawatan awal,” tambah beliau.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan, untuk rawatan lanjut. Keadaan mereka dilaporkan stabil.
Tokong Puu Jih Shy yang terletak di atas bukit merupakan antara tempat ibadat dan tarikan pelancong utama di Sandakan, sering dikunjungi oleh penganut Buddha dan pelawat tempatan mahupun luar.
Tiada pengunjung lain dilaporkan terlibat dalam insiden ini. Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu di kawasan berbukit dan sempit, terutamanya di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan awam.
-- Sandakan Viral Kini
Ulasan
Catat Ulasan