Wira Jalan Raya dari Sandakan: Pak Dol dan Misi Kesedaran Lalu Lintas
Disiarkan oleh Mus Fardil Abdullah
Di tengah-tengah kesibukan bandar Sandakan, Sabah, seorang lelaki beruniform putih berdiri teguh bukan sekadar mengawal lalu lintas, tetapi juga menjadi suara kesedaran kepada masyarakat. Dialah Pak Dol, seorang anggota polis trafik yang telah mencuri perhatian ramai melalui usahanya yang konsisten menyampaikan peringatan keselamatan jalan raya menerusi platform media sosial.
Setiap hari, tanpa gagal, Pak Dol memuat naik video-video pendek yang menyentuh isu-isu penting seperti pemakaian topi keledar, tali pinggang kenderaan, mematuhi lampu isyarat, larangan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, serta tempat meletakkan dan memberhentikan kenderaan pada tempat yang sepatutnya. Gaya penyampaiannya yang santai, diselitkan dengan kesedaran dalam agama penuh makna menjadikan kandungannya mudah difahami dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau juga sering menasihatkan orang ramai tentang pentingnya mencari rezeki yang halal. Baginya, melanggar peraturan merupakan satu jalan yang haram kerana ia tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Pesanan ini menjadi peringatan bahawa integriti dalam mencari rezeki harus seiring dengan kepatuhan kepada undang-undang.
Baginya, tugas sebagai polis trafik bukan hanya memberi saman atau mengawal lalu lintas, tetapi juga mendidik masyarakat agar menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab.
Masyarakat Sandakan kini bukan sahaja mengenali beliau ketika bertugas di jalan, tetapi juga menanti-nantikan pesanan harian yang penuh inspirasi dan kesedaran. Ramai yang mengaku bahawa mereka lebih berhati-hati di jalan raya selepas menonton videonya.
Apa yang dilakukan Pak Dol membuktikan bahawa perubahan boleh bermula dari usaha kecil tetapi berterusan. Beliau telah membuktikan bahawa seorang insan yang ikhlas, dengan niat untuk melindungi dan mendidik, mampu memberi impak besar kepada komuniti.
Hari ini, Pak Dol bukan hanya dikenali sebagai anggota polis trafik, beliau telah menjadi simbol kesedaran jalan raya dan wira tidak didendang bagi masyarakat Sandakan.
Ulasan
Catat Ulasan