NGO Buat Laporan Polis, Bantah Cadangan Penganjuran Himpunan LGBT oleh Pemuda PSM

     Oleh Mus Fardil Abdullah


KLANG, 2 Jun – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Epanco Malaysia telah membuat laporan polis terhadap cadangan Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menganjurkan Himpunan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang dijadualkan berlangsung pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.

Pengerusi Epanco Malaysia, Ariffin Abu Bakar, berkata pihaknya menolak keras sebarang usaha untuk mempromosikan budaya songsang yang bertentangan dengan nilai agama Islam, norma masyarakat Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan.

“Kami melihat perhimpunan ini sebagai satu bentuk ancaman kepada kesejahteraan sosial, khususnya kepada golongan muda yang mudah terpengaruh dengan budaya luar yang tidak sihat,” ujar beliau ketika ditemui media selepas membuat laporan di Balai Polis Klang Selatan.

Beliau turut menyeru agar pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kepimpinan negara, mengambil tindakan tegas bagi menghalang penganjuran program tersebut.

“Budaya songsang seperti ini tidak wajar diterima atau dinormalisasikan dalam masyarakat kita. Islam sebagai agama Persekutuan tidak pernah menghalalkan perbuatan sebegitu yang jelas bercanggah dengan ajarannya,” tambah beliau.

Menurut Ariffin, lebih 20 ahli Epanco Malaysia hadir bersama beliau dalam laporan polis yang dibuat semalam, sebagai manifestasi kebimbangan dan solidariti masyarakat terhadap isu ini.

Beliau turut menegaskan bahawa bantahan ini bukan hanya mewakili suara NGO Islam, tetapi juga masyarakat majmuk yang prihatin terhadap perkembangan sosial negara.

“Saya percaya rakyat Malaysia pelbagai kaum juga berkongsi pendirian sama dalam menolak apa-apa bentuk aktiviti yang boleh merosakkan nilai moral generasi muda,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'