Dari Hutan Ke Rumah Warga Tua: Sinar Baru Pakcik Jaineh
Sandakan, 3 Ogos – Susulan lawatan calon N.55 Elopura ke tempat tinggal pakcik Jaineh di kawasan hutan Batu Sapi semalam, hari ini Jeffery Chung telah membawa warga emas berusia 60 tahun itu melawat Rumah Warga Tua Sandakan, sebagai persediaan untuk pemindahan ke tempat yang lebih selamat dan terjamin.
Dalam lawatan tersebut, pakcik Jaineh dibawa meninjau suasana sekitar pusat penjagaan termasuk kemudahan asas, penjagaan kesihatan dan persekitaran bersih yang ditawarkan kepada penghuni warga emas.
"Hari ini kami berjanji untuk membawa pakcik Jaineh melihat kawasan sekitar, supaya dia lebih mengerti dan memahami keadaan di sini," kata Jeffery.
"Selepas kita buat lawatan, pakcik Jaineh secara dasarnya bersetuju untuk masuk ke sini. Cuma ada sedikit masalah teknikal di mana IC dia pun hilang. Jadi kami kena bawa sekali ke JPN untuk mengatur kad pengenalan, supaya dapat buat permohonan ke rumah warga tua."
"Jangkaan tarikh kemasukan itu kita tidak boleh tetapkan kerana ia akan ditentukan oleh pihak penyelia rumah warga tua. Perlu melalui proses yang betul dan tidak boleh melalui jalan pintas."
Dalam perkembangan yang sama, isteri kepada Jeffery, Madam Vera Chang Siau Man, turut hadir menyantuni penghuni di rumah warga tua tersebut dan menyampaikan sumbangan berupa kuih dan minuman ringan.
Beliau berkongsi kehadirannya tercetus selepas melihat siaran Facebook suaminya mengenai nasib pakcik Jaineh.
"Saya hadir ke sini disebabkan siaran di dalam Facebook melihat suami melawat pakcik Jaineh di Batu Sapi dan cuba membawanya ke rumah warga tua."
"Supaya dapat menjamin kehidupannya yang lebih berkualiti kesihatan dan kebersihan semua terjaga. Ramai orang di sini boleh jadi kawannya, berbanding dia menyendiri di tempat itu."
"Bagi orang tua, saya rasa agak kasihan sebab tiada orang berbual dengan dia. Bagi saya, kalau pakcik Jaineh tinggal di sini, kehidupan dia akan lebih ceria semestinya."
"Saya berharap agar masyarakat yang berhati baik dapat memberi sumbangan kepada warga tua di sini. Mereka memang perlukan kasih sayang — bukan sekadar barangan, tetapi kehadiran dan perhatian dari orang luar."
Usaha membawa pakcik Jaineh keluar dari kehidupan terasing di dalam hutan ke tempat perlindungan yang lebih selesa ini mendapat sokongan ramai pihak dan dilihat sebagai satu langkah kecil tetapi penuh makna dalam memelihara maruah dan hak asasi golongan warga emas yang terpinggir.
Ulasan
Catat Ulasan