MUFLIS: LELAKI DOMINASI 70% KES DI MALAYSIA

Oleh : Mus Fardil Abdullah

SANDAKAN, 22 Ogos 2025 – Ketua Cawangan Insolvensi Malaysia Sandakan, Tuan Syauqi Mardia Bin Baharudin menjelaskan bahawa insolvensi atau muflis merupakan keadaan di mana seseorang individu diisytiharkan bankrap oleh mahkamah kerana gagal membayar hutang berjumlah RM100,000 ke atas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi podcast bertajuk “Muflis Apa Bah Ni” anjuran Sandakan Viral Kini (SVK) malam tadi.

Menurut beliau, berdasarkan statistik kebangsaan, 70% daripada individu muflis adalah lelaki, manakala majoriti kes melibatkan golongan berumur 35 hingga 44 tahun. Dari segi kaum pula, Melayu mencatat jumlah tertinggi, diikuti oleh kaum Cina serta lain-lain.


“Antara punca utama yang membawa kepada kebankrapan ialah pinjaman peribadi, diikuti pinjaman perumahan, perniagaan dan hutang lain. Ada juga yang berhutang dengan banyak pihak, termasuk bank, individu dan institusi kredit,” katanya.

Tambah beliau lagi, literasi kewangan adalah kunci penting dalam mengelakkan seseorang daripada terjebak dalam masalah muflis.

“Orang ramai perlu bijak membezakan keperluan dan kemahuan, serta tidak terikut-ikut dengan tren semasa. Platform seperti buy now pay later bukanlah punca utama, sebaliknya amalan pengurusan kewangan diri sendiri yang menentukan,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dalam membuat pinjaman dan meningkatkan ilmu pengurusan kewangan supaya tidak tergolong dalam golongan muflis.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'