“Parti Lama Patut Berehat, Beri Peluang Untuk Pemimpin Baharu” - Michel Alok

Disiarkan oleh Mus Fardil Abdullah


SANDAKAN, 13 Ogos – Presiden merangkap Pengasas Parti Impian Sabah (PIS), Michel Alok, menyeru agar rakyat tidak lagi memberi peluang kepada mana-mana pemimpin atau parti yang telah berjanji dan diberi peluang selama lima tahun namun gagal menunaikannya.

“Jangan lagi beri peluang kepada mana-mana pemimpin parti ataupun parti yang sudah berjanji dan diberi peluang lima tahun dan mereka tidak menunaikannya. Lebih-lebih lagi kepada parti atau pemimpin yang sudah tiga penggal diberi peluang, orang seperti ini patut diberi masa untuk berehat dan beri peluang kepada mana-mana parti dan pemimpin yang belum lagi tercemar, yang ada keistimewaan dan kelainan,” katanya.

Menurut Michel, Parti Impian Sabah adalah satu-satunya pilihan terbaik kerana ia merupakan parti baharu dengan pemimpin baharu, budaya baharu, pendekatan baharu dan belum tercemar.

“Saya mendorong kepada golongan-golongan muda, kamu harus memilih Parti Impian Sabah sebab Parti Impian Sabah adalah parti yang boleh memberi jaminan kepada generasi muda ini yang akan menjadi pemimpin di dalam parti mahupun di dalam kerajaan pada masa yang akan datang kerana Parti Impian Sabah telah melakukan satu pembaharuan di dalam politik itu sendiri,” ujarnya.

Beliau menegaskan, PIS telah menghadkan tempoh jawatan di dalam parti yang termaktub dalam perlembagaan. Jika diberi mandat menjadi kerajaan kelak, pihaknya akan mengubah Perlembagaan Sabah bagi mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada dua penggal sahaja.

“Dengan ini memberi peluang kepada generasi muda untuk menjadi pemimpin di masa akan datang,” jelasnya.

Menyentuh isu tanah adat, Michel menegaskan ia adalah pusaka daripada nenek moyang dan perlu dipulangkan kepada keluarga pewaris.

“Saya memang sudah ada perancangan ini, mereka gunakan Pantas sebagai satu kaedah menyelesaikan masalah-masalah tanah adat ini, dan bila Parti Impian Sabah memerintah akan datang, kita akan memperkasakan program Pantas ini untuk menyelesaikan tanah adat yang ada di Sabah,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap keadaan politik di Sabah yang disifatkannya “tercemar” sehingga menyebabkan ramai pengundi muda beranggapan politik itu kotor, enggan mengundi, malah tidak mahu terlibat langsung dalam politik.

“Sebab itu saya menubuhkan parti ini untuk memberikan keyakinan kepada anak muda untuk masuk politik. Jika saya tidak membuat perubahan ini, maka tidak ada peluang kepada anak muda ini untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Michel berkata demikian selepas sesi podcast Sandakan Viral Kini bertajuk “Cerita di Sebalik Impian” di sini, hari ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'