Pindaan Akta Persaingan 2010 Dibentang sebelum 2025 - Datuk Armizan


Sandakan, — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kini sedang disegerakan tanpa perlu menunggu tahun 2030.

Menurut beliau, pindaan ini memberi fokus kepada penambahbaikan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), termasuk memperkenalkan rejim kawalan percantuman bagi mengekang pembentukan kartel atau monopoli sejak awal.

Datuk Armizan memaklumkan, proses pindaan tersebut kini di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun 2025.

Beliau menjelaskan, MyCC mempunyai kuasa memulakan siasatan sama ada secara proaktif, melalui arahan Menteri, aduan orang awam, atau maklumat daripada pihak yang terlibat sendiri. Namun, katanya, MyCC tidak mempunyai kuasa untuk mengecualikan pembida semasa siasatan masih berjalan, selagi kesalahan belum dibuktikan di bawah Akta 712.

Setakat ini, MyCC telah mengeluarkan keputusan pelanggaran terhadap 270 perusahaan, termasuk 268 kes kartel dan 2 kes salah guna monopoli. Sebanyak 26 syarikat yang terbabit dalam kartel tipuan bida turut dikenakan penalti kewangan berjumlah RM97.31 juta.

Datuk Armizan turut menegaskan, keputusan pelanggaran ini disiarkan secara terbuka di laman web MyCC bagi rujukan kementerian dan agensi Kerajaan untuk tindakan lanjut dalam proses perolehan.

Bagi memperkukuh integriti, Kementerian Kewangan juga telah memperkenalkan beberapa garis panduan melalui Pekeliling Perolehan Kerajaan, antaranya pelaksanaan Integrity Pact sejak 1 Jun 2022 dan keperluan pengisytiharan anti-kartel dalam Surat Setuju Terima.

Beliau menambah, jika pembida yang berjaya didapati melanggar Akta 712, tawaran tender berkenaan boleh dibatalkan atau ditarik balik.

TAMAT.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'