Tinggal Bersendirian di Hutan Batu Sapi, Pakcik Jaineh Bertahan Hidup Dengan Kayu Api dan Air Bukit
Jeffery Chung Melawat pakcik Jaineh di kediamannya.
Disiarkan oleh Mus Fardil Abdullah
Sandakan: di celah belukar Jalan Batu Sapi – Lintas Sibuga, seorang lelaki warga emas, Jaineh bin Sani, 60 tahun, telah menetap lebih setahun dalam keadaan serba daif tanpa bekalan elektrik, air paip mahupun kemudahan asas.
Pakcik Jaineh menyara hidup dengan mengutip besi buruk dan barangan terbuang di sekitar tong sampah Sandakan, dengan pendapatan harian sekitar RM10 hingga RM20. Untuk mengisi perut, beliau memasak beras dan maggi menggunakan kayu api, hasil kutipan dari kawasan sekitar. Sumber air pula diperoleh dari aliran air bukit, yang tidak ditapis atau dirawat, menimbulkan risio terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.
Keadaan hidup yang menyayat hati ini akhirnya sampai ke pengetahuan masyarakat setempat dan dimaklumkan kepada calon N.55 Elopura dan N.54 Karamunting. Tanpa berlengah, mereka segera ke lokasi untuk meninjau sendiri keadaan pakcik Jaineh.
Setibanya di lokasi, mereka mendapati keadaan tempat tinggal pakcik Jaineh sangat terpencil dan berisiko tinggi, termasuk ancaman binatang buas, cuaca buruk, serta keselamatan peribadi yang tidak terjamin.
Sebagai langkah intervensi awal, mereka mencadangkan agar pakcik Jaineh dipindahkan ke Pusat Penjagaan Warga Tua Sandakan, sekiranya beliau bersetuju. Sebagai alternatif, rumah pemindahan sementara khas yang dikendalikan oleh N.55 Elopura turut disediakan sebagai pilihan selamat.
"Esok, pakcik Jaineh dijadualkan melawat ke penempatan yang lebih sesuai demi menjamin keselamatan, kesihatan serta hak asasi beliau sebagai warga emas yang berhak hidup dalam keadaan lebih selamat dan bermaruah."
Calon N.55 Elopura, Jeffery Chung, turut hadir menyantuni pakcik Jaineh dan menyampaikan sumbangan bakul makanan sebagai bantuan sementara. Beliau menegaskan bahawa soal kebajikan warga emas bukan sekadar agenda politik, tetapi tanggungjawab kemanusiaan bersama.
"Kami tidak boleh biarkan orang tua ini terus hidup dalam keadaan bahaya dan terpinggir. Ini soal maruah dan kemanusiaan," ujar Jeffery.
Masyarakat dan pihak berwajib diseru untuk lebih peka terhadap kes-kes seperti ini, agar tiada lagi warga emas yang terpinggir dan terlupakan, walau tinggal di hujung pelosok hutan sekalipun.
Ulasan
Catat Ulasan