Trafik Sandakan Terkawal, Penguatkuasaan Terus Dipergiatkan



SANDAKAN, 25 Ogos – Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Sandakan, ASP Freedy, menegaskan bahawa keadaan trafik di Sandakan secara keseluruhannya berada dalam keadaan sangat terkawal, meskipun masih terdapat segelintir golongan muda yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Menurut beliau, antara isu yang dikenal pasti adalah penunggang bawah umur yang menjadikan jalan raya sebagai tempat bermain. Namun, katanya, jumlah kesalahan tersebut masih rendah dan pihaknya terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan.

> “Kita tidak nafikan masih ada golongan muda bawah umur yang melakukan kesalahan, tetapi peratusannya kecil. Untuk makluman semua, penguatkuasaan secara berterusan dijalankan setiap minggu dan setiap hari. Tindakan saman dan sitaan terhadap motosikal yang terlibat juga masih diteruskan,” jelas beliau.



ASP Freedy berkata, penguatkuasaan bukan hanya berbentuk hukuman semata-mata, sebaliknya bertujuan mendidik dan menyedarkan pesalah lalu lintas. Hasil pemantauan mendapati, kesalahan kritikal yang boleh membawa risiko kemalangan serius kini semakin berkurangan.

“Yang paling banyak kita kesan adalah kesalahan memandu laju dan parkir tidak mengikut peraturan. Kesalahan lain yang boleh menyumbang kepada kemalangan masih terkawal, mungkin kerana sikap masyarakat Sandakan sendiri lebih berhati-hati,” tambahnya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa keadaan ini bukan alasan untuk BSPT atau PDRM bersikap sambil lewa.

> “Tindakan penguatkuasaan perlu dijalankan secara berterusan dan disesuaikan dengan keadaan semasa di sekitar Sandakan,” katanya.



ASP Freedy turut berkongsi hasil kajian beliau bahawa 97 peratus kemalangan jalan raya di Sandakan berpunca daripada sikap pemandu sendiri.

> “Jika masyarakat boleh ubah dua perkara – iaitu berhenti di persimpangan sebelum bergerak dan memulakan perjalanan dengan lebih berhati-hati – saya percaya kemalangan boleh dikurangkan sehingga 30 peratus,” katanya.



Beliau turut menambah bahawa kebanyakan kes kemalangan di Sandakan dapat diselesaikan dengan baik hasil kerjasama antara pihak yang terlibat, dan kes yang berlarutan kerana pertikaian jarang berlaku.

TAMAT

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Bekas Staf Menang Kes Mahkamah Terhadap Syarikat AJ Production

“Bukan Baru Timbul” Alex Wong Tegaskan Sudah Lama Berkhidmat di Karamunting