Anak Sandakan Panah Kejayaan di SAGA XI

Oleh Mus Fardil Abdullah

TAWAU, 16 Oktober – Anak-anak Sandakan sekali lagi membuktikan kehebatan mereka di arena sukan negeri apabila Kelab Memanah Daya Cekal Sandakan (DC Archery) mencatat kejayaan membanggakan dalam Sukan Sabah ke-11 (SAGA XI) yang baru berakhir di Tawau.

Lima wakil DC Archery yang menyertai temasya tersebut berjaya menyumbang enam pingat keseluruhan – dua Emas, satu Perak dan tiga Gangsa – sekali gus mengharumkan nama Sandakan sebagai antara kontinjen terbaik dalam acara memanah.

Bintang utama pasukan, Catherine Looi (雷媚棋), menjadi penyumbang terbesar apabila meraih Emas dalam Pusingan Kelayakan Individu (QR), Perak dalam Pusingan Olimpik Individu Compound 50m (OR), serta satu lagi Emas dalam acara Berpasukan Campuran (Mixed Team OR) bersama rakan sepasukan Joshua Chong (张耀哲).

Joshua turut memperkukuh kedudukan Sandakan dengan meraih dua pingat Gangsa dalam acara Individu QR dan OR, menambah kilauan pingat buat kontinjen Sandakan.

Dalam kategori Recurve, pasangan Eunice Hing (王芯宁) dan Iden Thien (邓语泽) turut tidak ketinggalan apabila menghadiahkan Gangsa dalam acara Berpasukan Campuran.

Turut menerima penghargaan ialah dua lagi wakil DC Archery, Dexter Tsang (曾铭政) dan Crystal Yong (杨诗琪), atas semangat juang tinggi serta komitmen mewakili kelab dan Sandakan dengan penuh kebanggaan.

Menurut jurulatih DC Archery, kejayaan ini merupakan hasil latihan berterusan, disiplin tinggi serta semangat sepasukan yang kukuh dalam kalangan atlet.

“Pencapaian ini bukti anak-anak Sandakan mampu bersaing di peringkat negeri dan membawa nama daerah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kejayaan DC Archery di SAGA XI sekali lagi mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara kelab memanah paling konsisten di Sabah, membuktikan bahawa bakat muda dari Sandakan terus menyerlah dan tepat mengenai sasaran.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'