BEKAS PENGASAS DAN PENGERUSI AMANAH SABAH HAMZAH ABDULLAH, MASUK WARISAN, DEDAH PERJALANAN POLITIK BERSAMA SHAFIE SEJAK 1994
Oleh Mus Fardil Abdullah
SANDAKAN, AHAD (SVK):
Bekas pengerusi Parti Amanah Sabah, Hamzah Abdullah kini secara rasmi menyertai Parti Warisan dan mendedahkan perjalanan politik panjangnya bersama Datuk Seri Shafie Apdal yang bermula sejak tahun 1994.
Hamzah menjelaskan bahawa beliau sudah mengenali Shafie sejak sebelum tertubuhnya Parti Warisan lagi. Pada waktu itu, Shafie pernah bertanya kepadanya untuk membantu di kawasan Sekong, dan Hamzah turut sama membantu calon Datuk Nahalan yang akhirnya menang dalam pilihan raya. Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pembentukan kerajaan baharu UMNO-BN di Sabah selepas menewaskan PBS.
“Selepas itu saya tidak diberi sebarang jawatan, tetapi saya tetap teruskan perjuangan membantu pemimpin lain termasuk Yong Teck Lee dari SAPP. Saya tidak pernah jumpa Datuk Seri Shafie atau mana-mana pemimpin untuk meminta jawatan. Itu bukan cara saya, saya tidak suka melobi,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Sandakan Viral Kini pada Ahad.
Menurut Hamzah, pada tahun 2015 ketika Datuk Seri Shafie menubuhkan Parti Warisan (yang asalnya dikenali sebagai Parti Heritage Sabah), beliau turut hadir dalam majlis di Dewan Hakka dan duduk bersama Shafie.
“Saya ketika itu memimpin Parti Amanah di Sabah. Jawatan itu ditawarkan kepada saya, bukan saya yang memohon. Ini perbezaan besar – ditawarkan dan memohon, umpama memohon kerja dan ditawarkan kerja,” jelasnya.
Hamzah turut berkongsi bahawa penglibatannya dalam politik bermula lebih awal apabila beliau dilantik oleh Datuk Seri Fairin sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat (PPM) pada tahun 1992.
“Jadi kalau orang kata saya baru masuk Warisan, itu tidak betul. Saya masuk Warisan bukan untuk jadi calon, tapi jika pimpinan atasan menilai prestasi dan kewibawaan saya layak diberi peluang, saya akan gunakan peluang itu sebaiknya untuk membantu Warisan membentuk kerajaan dan memperjuangkan hak rakyat,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan