Dari menjual nasi Lemak di Sekolah, Kini Teraju Syarikat dan Hotel Ternama - Datuk MD Afendi Haji Hamdan

Oleh Mus Fardil Abdullah

SANDAKAN, 19 Oktober – Datuk Md Afendi bin Haji Hamdan berkongsi kisah perjalanan hidupnya yang penuh inspirasi — daripada menjual nasi lemak di sekolah hingga menjadi tokoh korporat dan usahawan berjaya di Sabah.

Beliau mula berniaga seawal usia 17 tahun dengan membekalkan kayu bakau di BDC, perniagaan pertama yang membuka jalan kepada pelbagai cabang kejayaan selepas itu. Katanya, sewaktu di sekolah dahulu beliau aktif menjual nasi lemak, ais krim dan cabutan bertuah di kedai runcit keluarganya — pengalaman yang membentuk semangat keusahawanan serta daya tahan diri.

“Kesusahan itu yang membawa kreativiti. Dari situ kita belajar bagaimana mahu bantu orang lain. Nombor satu, jiwa ini mesti ada semangat membantu,” katanya.

Nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap golongan susah menurutnya datang daripada didikan arwah ibu bapa yang menekankan pentingnya membantu tanpa mengira latar belakang.
“Walaupun dia gelandangan, tiada dokumen atau kurang pelajaran, tetap kita bantu. Ramai yang kreatif — boleh buat sulaman dan kraftangan, cuma perlu diberi peluang,” jelas beliau.

Datuk Md Afendi bukan nama asing dalam dunia korporat dan industri kreatif tanah air. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di mana beliau banyak memperjuangkan pembangunan industri filem di Sabah serta memperluas latihan kepada bakat tempatan.

Selain itu, beliau juga merupakan pemilik The Elopura Hotel Sandakan dan sebuah cinema di Sandakan, dua mercu tanda penting dalam sektor pelancongan dan hiburan di pantai timur Sabah. Tidak terhenti di situ, beliau turut menerajui beberapa syarikat dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan perkhidmatan digital, termasuk kumpulan korporat Raffcomm Group, di mana beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif.

“Kalau kita faham kesusahan, kita tahu bagaimana mahu bantu. Itulah kekuatan sebenar seorang usahawan — bukan sekadar mencari untung, tetapi memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.

Kisah beliau menjadi inspirasi kepada ramai usahawan muda di Sabah bahawa kesungguhan, kreativiti dan keikhlasan untuk membantu mampu membawa seseorang daripada menjual nasi lemak di sekolah kepada memimpin pelbagai syarikat ternama di peringkat nasional.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'