Isu Lobster Tular: KPDN Semporna Denda 3 Peniaga Gagal Letak Harga
SEMPORNA, 22 OKTOBER 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menjalankan pemeriksaan susulan aduan tular di media sosial mengenai dakwaan penipuan pembelian hasil laut jenis Udang Kara (Lobster) oleh pelancong dari China.
Operasi bersepadu itu dijalankan bersama penguat kuasa Majlis Daerah Semporna di Pasar Ikan Semporna, melibatkan lima pegawai penguat kuasa KPDN.
Siasatan awal mendapati kejadian yang tular semula pada 21 Oktober 2025 oleh laman Sabah Info sebenarnya berlaku enam bulan lalu. Namun, atas keprihatinan terhadap kepentingan pengguna, KPDN tetap melaksanakan operasi bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang.
Dalam operasi tersebut, tiga peniaga didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga pada udang kara yang dijual. Ketiga-tiga peniaga itu dikenakan kompaun berjumlah RM900.
Secara keseluruhan, pemeriksaan dijalankan ke atas 40 premis perniagaan di kawasan pasar berkenaan.
KPDN Semporna menegaskan pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang melanggar undang-undang serta tidak beretika demi melindungi hak pengguna.
Ulasan
Catat Ulasan