Kerajaan GRS Tak Gagal – Amirshah Dedah Projek Air, Jalan dan Elektrik Sedang Siap


Oleh Mus Fardil

SANDAKAN, 16 OKTOBER – Ketua Bahagian Sungai Sibuga Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Amirshah Yaakub, menolak dakwaan bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah gagal mentadbir negeri ini.

Menurutnya, banyak projek pembangunan besar sedang dan telah dilaksanakan, membuktikan kerajaan hari ini tidak boleh dianggap gagal sama sekali.

“Kerajaan ini tidak sempurna, tetapi janganlah kita nafikan segala usaha yang telah dan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirshah menjelaskan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor telah memberi tumpuan terhadap tiga isu utama yang sering dibangkitkan rakyat — air, jalan raya dan elektrik.

Bagi isu air, beliau berkata kerajaan telah menyiapkan sembilan projek air manakala lapan belas lagi sedang dalam pelaksanaan. Loji Rawatan Air Kundasang yang mampu menyalurkan 15 juta liter sehari siap pada November 2023, manakala projek menaiktaraf sistem air serta pembinaan lima tangki simpanan di Sandakan dijangka siap Julai 2026. Di Sungai Sibuga pula, projek pemasangan paip baharu di Kampung Tinusa 2 dijangka siap pada April 2027.

Untuk isu jalan raya, katanya, hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan membolehkan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah berjalan lancar. Setakat ini, empat pakej utama telah siap termasuk Lot M – Batu 32, Lahad Datu Bypass, Tawau–Semporna Pakej 1 dan Papar–Dongongon, manakala tiga puluh satu pakej lagi kini dalam pembinaan.

Dalam sektor tenaga pula, pelbagai projek sedang dijalankan termasuk Hidroelektrik Ulu Padas, Run of River Ulu Padas, loji gas enjin, ladang solar, sistem tenaga simpanan (BESS), projek mini hidro, sambungan grid Sabah–Sarawak serta pembukaan semula Stesen Janakuasa Tenom Pangi.

Amirshah menegaskan bahawa kerajaan GRS + PH tidak hanya berbicara tentang janji, sebaliknya membuktikan hasil melalui pelaksanaan projek yang nyata di lapangan.

“Sekiranya kerajaan hari ini diberikan kepercayaan sekali lagi, saya yakin Sabah akan terus maju dan berjaya. Terima kasih YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'