RISDA Suntik RM7 Juta Bantu Pekebun Kecil & Usahawan Sabah — “Jom Tanam Getah!”
Oleh Mus Fardil Abdullah
SANDAKAN, 18 Oktober — RISDA terus komited membantu pekebun kecil dan usahawan luar bandar apabila memperuntukkan sebanyak RM7 juta tahun ini bagi pelbagai bantuan termasuk penanaman getah dan program ekonomi tambahan. Melalui program Town Hall Santuni Pekebun Kecil yang berlangsung di Sandakan, agensi itu memberi peluang kepada masyarakat pantai timur Sabah mengenali lebih dekat peranan RISDA dalam membimbing dan memperkasakan ekonomi rakyat luar bandar.
Pengarah RISDA Sabah, Nor Afzami bin Isa berkata antara bantuan utama yang disalurkan ialah Bantuan Tanam Getah bernilai RM14,995 bagi setiap peserta, yang ditawarkan kepada tanah bertanam getah tua atau tanah kosong yang mempunyai geran sah. Menurutnya, penerima bantuan turut mendapat geran secara percuma selain berpeluang menikmati pelbagai manfaat lain seperti aktiviti keusahawanan dan agro makanan.
“Ramai yang baru tahu bahawa RISDA bukan sekadar menanam getah, tetapi turut membimbing usahawan kecil melalui pelbagai program bimbingan dan bantuan peralatan. Untuk Sabah sahaja, kita memperuntukkan RM7 juta bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berkata antara program yang mendapat sambutan ialah aktiviti ekonomi tambahan, di mana peserta menerima peralatan bernilai antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan dalam bidang makanan tradisional, kraf tangan, salon dan lain-lain.
“Saya menyeru kepada warga Sandakan dan seluruh pantai timur Sabah — jom tanam getah! Datanglah ke pejabat RISDA untuk mengenali lebih dekat peluang yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, usahawan F&B, Abd Raup bin Mohd Amin, berkata bantuan RM20,000 yang diterimanya di bawah program keusahawanan RISDA telah membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti perniagaannya.
“Saya mula berniaga kecil-kecilan sejak 2022 dengan modal terhad. Bila saya dapat bantuan RISDA, saya gunakan sepenuhnya untuk beli mesin yang betul-betul diperlukan. Dari situ, bisnes saya berkembang,” ujarnya.
Pekebun kecil dari Kampung Bakung, Tuyang binti Pangagga, turut menzahirkan penghargaan kepada RISDA atas bantuan yang diberikan, termasuk projek penanaman getah dan penurapan batu ke kebun mereka.
“Kami bersyukur sebab RISDA bukan saja bantu tanam getah, tapi juga buat jalan ke kebun. Jalan tu penting untuk kami angkut hasil,” katanya.
Program Town Hall Santuni Pekebun Kecil ini sekali lagi membuktikan komitmen RISDA dalam memperkasakan komuniti luar bandar, bukan sekadar melalui tanaman getah, tetapi juga dengan melahirkan lebih ramai usahawan desa yang berdaya saing di Sabah.
Ulasan
Catat Ulasan