Sandakan Terpinggir Lagi, Datuk John Khoo Luah Rasa Kecewa Bajet 2025
Oleh Mus Fardil
SANDAKAN: Bekas Presiden Kebangsaan Junior Chamber International Malaysia (JCI Malaysia), Datuk John Khoo Choo Ping, melahirkan kekecewaan terhadap Bajet Persekutuan 2025 yang disifatkannya gagal memberi perhatian kepada Sandakan, walaupun bandar ini berdepan kemerosotan ekonomi dan infrastruktur tanpa sebarang bantuan konkrit daripada kerajaan.
Beliau berkata, ketiadaan peruntukan khusus untuk daerah ini seolah-olah menunjukkan Sandakan terus dipinggirkan daripada arus pembangunan negeri dan negara, walaupun pada suatu ketika dahulu daerah ini merupakan penyumbang utama hasil Sabah.
“Sandakan ibarat kolam air yang bertakung, wang terus mengalir keluar, tetapi tiada pelaburan baharu yang masuk. Lama-kelamaan, kolam itu akan kering dan ekonomi merosot. Inilah yang sedang berlaku di Sandakan,” kata beliau ketika merasmikan majlis penutupan Little Hong Kong Food Street 3.0 malam Sabtu di Sekolah Menengah Cina Sandakan.
John menegaskan bahawa luahan beliau bukan bersifat politik, sebaliknya merupakan kebimbangan terhadap pengabaian berterusan terhadap pembangunan di kawasan pantai timur Sabah. Beliau menambah bahawa Sandakan memerlukan “aliran air baharu” berupa pelaburan, pembangunan infrastruktur dan pelancongan untuk menghidupkan semula ekonomi tempatan.
Beliau turut menyuarakan kekecewaan kerana Sandakan langsung tidak disebut dalam Bajet Persekutuan, walaupun Perdana Menteri mengumumkan peruntukan besar bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.
“Kerajaan umum projek baharu di Tawau serta naik taraf paip di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang, tetapi tidak satu pun disebut mengenai Sandakan, padahal inilah daerah yang menghadapi krisis air paling serius di Sabah,” katanya.
Beliau turut mengkritik langkah pihak berkuasa menangani gangguan bekalan air baru-baru ini, yang dianggap sekadar penyelesaian sementara dan tidak menyelesaikan punca sebenar masalah.
“Tiada menteri atau ketua jabatan turun padang melihat sendiri kesusahan rakyat. Pengagihan air botol hanya penyelesaian sementara dan menambah pencemaran plastik. Kita perlukan penyelesaian jangka panjang,” kata beliau.
John juga menekankan potensi pelancongan Sandakan yang sering diketepikan, walaupun daerah ini memiliki tarikan bertaraf dunia seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Sungai Kinabatangan.
“Mereka sering berbangga dengan peningkatan jumlah pelancong ke Sabah, tapi jarang disebut berapa ramai yang datang ke Sandakan,” katanya, sambil menambah pemimpin pelancongan negeri wajar turun padang meninjau sendiri keadaan di sini.
Beliau menyeru penduduk Sandakan supaya lebih berani bersuara dan menuntut hak mereka.
“Kita tidak boleh terus diam. Sudah tiba masanya kita bangkit mempertahankan hak dan maruah Sandakan,” tegasnya.
Dalam pada itu, John memuji usaha JCI menganjurkan program komuniti yang merancakkan semula ekonomi tempatan dan membuktikan kekuatan masyarakat akar umbi dalam memulihkan semangat bandar.
“Program ini mungkin kecil skalanya, tetapi kesannya besar. Ia membuktikan rakyat sendiri mampu membawa perubahan dan menghidupkan semula Sandakan,” katanya.
Beliau yang menyertai JCI sejak 1969 turut mengingatkan golongan muda agar berani mencuba, tidak takut gagal, dan terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Anak muda mesti berani berdepan cabaran, hanya dengan cara itu mereka boleh menjadi pemimpin yang membawa perubahan sebenar,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan