"Terima Kasih Sekong, Lima Tahun Yang Akan Saya Kenang Hingga Ke Akhir Hayat", Alias

Oleh Mus Fardil Abdullah

SANDAKAN, 8 Okt — Dengan penuh kesyukuran dan hati yang sarat rasa terima kasih, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Haji Sani, menamatkan lima tahun khidmatnya dengan titipan pesan yang menyentuh hati rakyat.

Dalam hantarannya di media sosial, Alias menzahirkan penghargaan kepada 5,937 rakyat Sekong yang telah memberinya kepercayaan dan mandat sejak Pilihan Raya Negeri ke-16 pada tahun 2020. Beliau menyifatkan tempoh lima tahun itu sebagai pengalaman yang amat berharga dan akan menjadi ingatan sepanjang hayatnya.

“Semangat 5,937 rakyat telah saya bawa dan jaga sepanjang tempoh lima tahun bekerja, Isnin hingga Ahad, pagi hingga ke malam. Ia pengalaman yang amat berharga dan akan menjadi ingatan sepanjang hayat,” tulisnya dalam nada penuh syukur.

Alias turut mengimbas suka duka sepanjang tempoh perkhidmatan, termasuk ketika negara dilanda pandemik COVID-19 serta cabaran getir di Sandakan ketika berhadapan dengan masalah bekalan elektrik dan air yang terputus. Katanya, segala pengalaman itu menjadi saksi perjuangannya bersama rakyat dan akan kekal terpahat dalam ingatan.

“Saya akan menjadi saksi di hadapan Allah untuk kalian di sepanjang lima tahun itu,” katanya penuh sebak.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan, tidak pernah sekalipun beliau mengkhianati amanah rakyat yang telah memilihnya. “Saya tidak pernah sedikitpun membelakangi dan mengkhianati kepercayaan 5,937 hamba Allah yang memberi kepercayaan kepada saya pada tahun 2020 lalu,” ujarnya lagi.

Alias turut menghadiahkan segala kebaikan dan pahala hasil khidmatnya kepada kedua ibu bapa, isterinya dan seluruh warga Sekong yang menjadi sumber kekuatannya. “Jika ada kebaikan sepanjang tempoh berkhidmat, saya khususkan ganjaran pahala dan kemuliaan itu untuk kedua orang tua saya, isteri saya dan kalian warga Sekong yang telah memilih saya,” katanya.

Beliau juga merakam penghargaan kepada Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal, barisan pimpinan parti serta seluruh rakyat Sabah yang menjadi nadi perjuangannya. “Saya genggam erat kepercayaan YB Presiden kami menjadi azimat menempuh siang dan malam bekerja sepanjang lima tahun ini,” tambahnya.

Dalam nada rendah diri, Alias memohon ampun dan maaf atas segala kelemahan, kekurangan dan kekhilafan sepanjang perkhidmatannya. Katanya, segala bakti dan tenaga yang dicurahkan diharap akan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah.

“Semoga wakaf umur dan diri saya untuk perjuangan rakyat Sabah dan wilayah ini akan Allah terima sebagai amal soleh,” katanya penuh doa.

Beliau menutup pesanan itu dengan seruan mendalam, mengajak rakyat untuk menolak politik hodoh dan mengangkat kembali politik rakyat yang bermaruah.

“Moga kita dapat terus bersama memaknai politik rakyat yang penuh nilai mendepani PRN17 kelak. Tolak politik hodoh para elit yang miskin nilai, junjung tinggi politik rakyat,” pesannya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'