Abdul Said Tegaskan Komitmen Menjadi Mata, Telinga dan Suara Rakyat Gum-Gum

oleh Mus Fardil

Sandakan — Calon Parti Keadilan Rakyat bagi N.50 Gum-Gum, Abdul Said Pimping, menegaskan bahawa beliau bukan calon yang suka menabur janji manis sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. Menurutnya, tugas sebenar seorang wakil rakyat bukan bergantung kepada retorik, tetapi kepada kesediaan untuk melihat, mendengar dan menyuarakan kepentingan rakyat tanpa mengira keadaan.

“Pertama, saya tidak suka menjanjikan bulan bintang. Apa yang saya boleh janji ialah saya akan menjadi mata, telinga dan suara masyarakat di bawah pentadbiran saya,” katanya. Beliau menjelaskan bahawa sebagai mata, beliau komited memahami keseluruhan kawasan Gum-Gum melalui pemerhatian dan turun padang. Sebagai telinga, beliau berjanji mendengar setiap keluhan dan cadangan masyarakat secara langsung tanpa tapisan.

Beliau menekankan bahawa aspek paling penting adalah menjadi suara rakyat dalam apa jua platform. “Di mana-mana tempat, dengan siapa sekali pun, saya akan mengangkat suara rakyat saya untuk dibawa ke atas. Itu tugas saya sebagai wakil rakyat,” tambahnya.

Abdul Said turut menyatakan bahawa kemampuan seorang pemimpin bukan terletak pada janji yang panjang, tetapi berdasarkan perancangan dan keberkesanan tindakan. Katanya, rakyat boleh menilai sendiri sama ada beliau mampu membawa perubahan. Jika tidak, beliau meminta agar pengundi tidak teragak-agak untuk menumbangkannya pada pilihan raya akan datang.

Pendekatan terus terang ini menarik perhatian pengundi di Gum-Gum yang mahukan seorang wakil rakyat yang jujur, bertanggungjawab dan bersedia dipertanggungjawabkan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Bekas Staf Menang Kes Mahkamah Terhadap Syarikat AJ Production

“Bukan Baru Timbul” Alex Wong Tegaskan Sudah Lama Berkhidmat di Karamunting