Bantu Dengan Hati, Bukan Dengan Kamera - Jason Hii Perjelas Keadaan
Oleh Mus Fardil
SANDAKAN, 2 November : Susulan penyebaran beberapa kenyataan dan hantaran di media sosial berkaitan insiden kebakaran yang menimpa seorang warga emas di Sandakan, Jason Hii, wakil kepada Mdm Liau Fui Fui, tampil memberikan penjelasan bagi memperbetulkan fakta sebenar dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Jason, kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 4 pagi pada 29 Oktober, bukannya pada waktu petang seperti yang tular.
Katanya, sebaik menerima panggilan daripada Mdm Liau Fui Fui sekitar jam 8 pagi hari kejadian, beliau segera ke lokasi bagi meninjau keadaan mangsa dan menilai bentuk bantuan yang boleh diberikan.
Beliau tiba di lokasi sekitar jam 9 pagi, menenangkan mangsa serta membawanya ke hospital bagi mendapatkan semula ubat-ubatan dan dokumen rawatan yang musnah dalam kebakaran.
Selepas itu, Jason bersama pasukannya membantu mangsa mencari tempat tinggal baharu, membayar wang pendahuluan sewa bilik, memberikan sedikit wang tunai serta membeli barangan keperluan asas, termasuk topi merah kegemaran mangsa yang turut musnah dalam kebakaran tersebut. Katanya, segala usaha itu dilakukan agar mangsa tidak berasa sendirian dan terus dibantu selepas kehilangan tempat tinggal.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat beberapa pihak lain yang hanya tampil selepas sehari kejadian dan berlaku sedikit salah faham dalam proses penyaluran bantuan. Jason menegaskan, walaupun semua pihak berniat mahu membantu, namun keutamaan seharusnya diberikan kepada keselesaan dan maruah mangsa, bukan kepada siapa yang mahu ditonjolkan di hadapan umum.
“Terdapat sedikit kekeliruan dan emosi dalam proses bantuan, namun saya berpendapat bahawa kerja kebajikan tidak seharusnya menjadi medan untuk menunjuk-nunjuk. Bantuan harus dilakukan dengan hati yang ikhlas, bukan kerana mahu meraih perhatian atau pujian,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa semua dokumen dan laporan rasmi berkaitan insiden berkenaan adalah hak milik mangsa, dan perlu dihormati oleh semua pihak bagi menjaga integriti serta ketelusan dalam urusan kebajikan. Tegasnya, setiap langkah perlu berpaksikan niat murni dan keprihatinan sebenar terhadap keperluan individu yang terkesan.
Jason yang mengakui masih baharu dalam dunia politik dan kerja kebajikan berkata, pengalaman ini menjadi pengajaran yang amat berharga. Beliau menegaskan bahawa segala tindakan dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran, tanpa sebarang agenda tersembunyi. “Saya turun padang bukan untuk mencari nama. Saya hanya mahu memastikan mangsa mendapat semula ketenangan dan keyakinan selepas apa yang berlaku,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden PIBG, Teck Lee, yang juga merupakan rakannya, atas keprihatinan dan ketelusan dalam menilai keadaan sebenar.
“Saya yakin beliau dapat melihat perkara ini dengan hati terbuka. Dalam hidup, kita selalu diingatkan bahawa dekat dengan merah akan menjadi merah, dan dekat dengan hitam akan menjadi hitam. Maka berhati-hatilah dalam memilih siapa yang kita dampingi,” ujarnya mengakhiri kenyataan.
Ulasan
Catat Ulasan