Gangguan Air Seluruh Sandakan Bermula Hari Ini: Tindakan Segera Sedang Dijalankan

      Tang Szu Ching bermesyuarat dengan jabatan Air Daerah Sandakan


SANDAKAN, 7 November 2025 — Penduduk di seluruh daerah Sandakan kini berdepan gangguan bekalan air bermula hari ini susulan kerja-kerja pembaikan paip utama berdiameter 1200mm yang pecah di kawasan Jalan Lintas Utara, berhadapan Taman Nasalim dan Taman Casa San Uno.

Menurut Penyelaras Parlimen P.186 Sandakan, Tang Szu Ching, kerja-kerja pembaikan oleh Jabatan Air Sandakan telah bermula pada jam 8.00 pagi hari ini (7 November 2025) dan dijangka siap pada jam 6.00 petang, 9 November 2025 (Ahad), tertakluk kepada keadaan cuaca serta tahap kerosakan di lokasi berkenaan.

Sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air Segaliud dijangka mengalami pengurangan kapasiti pengeluaran air sebanyak 40%, yang menyebabkan tekanan air rendah, bekalan tidak stabil atau gangguan sementara di kebanyakan kawasan sekitar Sandakan.

Tang Szu Ching memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Air Sandakan bagi menyelaras tindakan segera menangani situasi ini. Beliau turut meninjau kawasan terjejas di Taman Nasalim untuk melihat sendiri keadaan di lokasi kejadian dan perkembangan kerja-kerja pembaikan yang sedang dilaksanakan.


Beliau berkata, pihaknya memahami kesulitan yang dihadapi penduduk dan menyeru semua agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan ini.

Orang ramai disarankan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi Jabatan Air Sandakan dan Pejabat Penyelaras Parlimen P.186 Sandakan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai status pemulihan bekalan air.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'