Penduduk Derita, Peniaga Rugi – Alex Wong Tuntut Tindakan Segera Atasi Krisis Air

Oleh Mus Fardil

Sandakan, 11 November – Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Sandakan, Alex TK Wong, menzahirkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap krisis bekalan air besar-besaran yang melanda daerah Sandakan sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, gangguan bekalan air selama tiga hingga empat hari berturut-turut bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah menimbulkan kesan ekonomi yang serius terhadap peniaga kecil, pengusaha makanan dan para peniaga di pasar.

“Masalah ini bukan baru. Ia sudah bertahun-tahun berlaku dan kini menjadi seperti masalah biasa di Sandakan. Penduduk seolah-olah dipaksa menerima keadaan ini sebagai norma, sedangkan air adalah keperluan asas,” tegas Alex.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri dan agensi berkaitan agar tidak lagi bersikap reaktif dengan hanya memberi alasan teknikal setiap kali gangguan berlaku, sebaliknya tampil dengan pelan jangka panjang yang menyeluruh untuk memastikan bekalan air di Sandakan stabil dan mampan.

“Sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan tindakan konkrit – bukan janji semata-mata. Sandakan memerlukan pelaburan dalam infrastruktur air yang moden, penyelenggaraan berkala, serta komunikasi yang telus dengan rakyat,” tambahnya.

Menurut Alex, gangguan air tanpa notis bukan sahaja menyusahkan penduduk, tetapi turut menjejaskan reputasi ekonomi Sandakan sebagai salah satu pusat komersial utama di pantai timur Sabah.

“Apabila rumah, restoran, kilang dan pasar tiada air selama berhari-hari, keseluruhan ekosistem ekonomi tempatan lumpuh. Ini bukan perkara kecil, ini krisis,” katanya.

Beliau berharap isu ini diberi perhatian segera oleh pihak berwajib dan satu pelan penyelesaian jangka panjang digubal serta dilaksanakan bagi mengakhiri derita tanpa air yang sudah terlalu lama membelenggu rakyat Sandakan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'