Vivian Wong Nafi Dakwaan Ahli DAP Keluar Parti Beramai-Ramai

oleh  Mus Fardil

SANDAKAN: Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong, menafikan dakwaan bahawa berlaku penghijrahan besar-besaran ahli parti seperti yang didakwa dua bekas pemimpin DAP negeri itu baru-baru ini.

Beliau berkata, dakwaan bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon, dan bekas Setiausaha Organisasi, Liau Fui Fui, kononnya ramai ahli keluar parti adaliah tidak benar sama sekali. Menurutnya, gambar yang tular menunjukkan sekumpulan individu meninggalkan parti sebenarnya membabitkan kumpulan yang sama, namun gambar mereka diambil berulang kali untuk mencipta persepsi palsu seolah-olah jumlahnya besar.

Vivian menjelaskan bahawa dakwaan kononnya beberapa cawangan DAP dibubarkan juga tidak tepat, kerana hanya segelintir ahli yang meninggalkan parti manakala cawangan tersebut masih wujud dan berfungsi seperti biasa. Beliau menyifatkan tindakan bekas pemimpin berkenaan sebagai usaha tidak bertanggungjawab yang boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan imej parti.

Katanya, tuduhan bahawa DAP tidak menghargai sumbangan mereka juga tidak berasas, memandangkan kedua-duanya pernah diberikan peluang besar melalui parti. Frankie dilantik sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas perakuan DAP dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat di bawah tiket parti, manakala Liau pernah bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi dan turut mengetuai sebuah GLC.

“Kini mereka mendakwa parti tidak menghargai sumbangan mereka, sedangkan DAP sentiasa berpegang pada prinsip keadilan, integriti dan semangat berpasukan. Parti tidak pernah membuat keputusan berasaskan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Vivian menegaskan bahawa tindakan keluar parti atas alasan perjuangan rakyat hanyalah helah politik yang bermotifkan kepentingan peribadi. Katanya, DAP tidak akan terjejas dengan tindakan sedemikian dan akan terus memperkukuh perjuangan di peringkat akar umbi demi rakyat serta agenda reformasi parti.

“DAP Sabah kekal kukuh dan komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DUA MANGSA CEDERA SELEPAS KENDERAAN TERJUNAM DI TOKONG PUU JIH SHY SANDAKAN

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Jual ikan buruk, alasan 'sebab murah'