The Lion Club Sandakan Sumbang Lebih RM 10,000 Mangsa Kebakaran Kg Bahagia'
SANDAKAN: Keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran terus dizahirkan apabila Lions Club of Sandakan City tampil menghulurkan bantuan keperluan asas bernilai lebih RM10,000 dalam satu misi kemanusiaan yang dijalankan baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8,000 disumbangkan oleh kelab berkenaan, manakala lebih RM2,000 lagi merupakan hasil sumbangan orang awam yang turut sama prihatin terhadap nasib mangsa.
Antara barangan yang diagihkan termasuk air mineral, makanan segera seperti mi segera dan biskut, serta keperluan bayi seperti lampin pakai buang.
Selain itu, pakaian terpakai seperti baju dan kasut turut disumbangkan bagi membantu mangsa yang kehilangan harta benda.
Pengagihan bantuan ini telah diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dengan lokasi penyerahan ditetapkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tiong Hua yang baru dibuka dan memerlukan bekalan asas tambahan.
Seramai sembilan ahli Lions Club of Sandakan City telah terlibat secara langsung dalam misi pengagihan tersebut.
Tinjauan Sandakan Viral Kini (SVK) mendapati rata-rata mangsa melahirkan rasa syukur atas keprihatinan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan orang awam yang tampil membantu dalam saat sukar ini.
Presiden Lions Club of Sandakan City, Edwin Chin berkata, usaha kebajikan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa, terutama dengan sokongan berterusan daripada masyarakat.
“Selagi mana orang ramai terus memberi sokongan khususnya dari segi kewangan, kami akan pastikan bantuan seperti ini dapat diteruskan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan