Alex TK Wong cadang kajian sistem meter berpusat untuk bantu kampung peroleh bekalan elektrik sah dan stabil

Oleh Mus Fardil

SANDAKAN, 23 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Alex TK Wong mencadangkan agar Sabah Electricity menjalankan kajian pelaksanaan sistem meter berpusat atau pembinaan pencawang kecil (substation) di kawasan kampung tidak formal bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan elektrik yang lebih selamat dan sah.

Menurut beliau, hasil sesi pertemuan bersama pihak pengurusan Sabah Electricity baru-baru ini, masih terdapat banyak kawasan luar bandar dan kampung kecil di Sabah yang berdepan kesukaran untuk memohon sambungan elektrik rasmi.


Katanya, situasi tersebut berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk status kampung yang belum diwartakan serta ketiadaan alamat rasmi, sekali gus menyukarkan proses permohonan utiliti asas seperti air dan elektrik.

“Ramai penduduk bukan tidak mahu membayar bil elektrik, tetapi mereka tidak dapat melalui proses permohonan yang lengkap kerana kekangan status kawasan dan prosedur sedia ada,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa perkara itu telah dibangkitkan dalam sesi perbincangan bersama pihak Sabah Electricity agar diberikan perhatian khusus serta pendekatan lebih fleksibel bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Alex TK Wong turut mencadangkan supaya pihak utiliti mempertimbangkan pelantikan kontraktor bagi membangunkan sistem meter berpusat di kawasan terlibat, membolehkan penduduk menikmati bekalan elektrik secara lebih tersusun dan sah.

Menurut beliau, pelaksanaan cadangan tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk kampung, malah membantu mengurangkan isu sambungan elektrik tidak sah serta meningkatkan tahap keselamatan penggunaan elektrik di kawasan terlibat.

“Bekalan elektrik adalah keperluan asas rakyat. Penduduk di kawasan pedalaman dan kampung kecil wajar diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Sabah Electricity kerana sudi mengadakan sesi dialog bersama wakil rakyat serta mendengar isu-isu yang dibangkitkan di peringkat akar umbi.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus membawa suara rakyat dalam perbincangan akan datang demi memastikan penyampaian perkhidmatan asas yang lebih adil dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JHEAINS Tinjau Dakwaan Pengebumian Bukan Islam di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah

Bekas Staf Menang Kes Mahkamah Terhadap Syarikat AJ Production

“Bukan Baru Timbul” Alex Wong Tegaskan Sudah Lama Berkhidmat di Karamunting